Penduduk Kunak, Semporna Rasai Gegaran Gempa Di Lahad Datu
Diterbitkan: Ahad, 26 Mac 2017 8:50 PM
SEMPORNA: Gempa bumi lemah bermagnitud 4.2 pada skala
Richter yang melanda Lahad Datu, petang Ahad turut mengakibatkan beberapa
kawasan di daerah Kunak dan Semporna merasai gegarannya.
Seorang guru, Aslina Ali, 30, berkata beliau dapat merasakan
gegaran hampir seminit ketika berada di rumahnya di perumahan Sekolah Menengah
Kebangsaan Tagasan, di sini.
"Saya sedang mengemas rumah kerana baru balik dari
kampung setelah seminggu cuti persekolahan sebelum gegaran itu dirasai
kira-kira pukul 5.30 petang.
"Setelah itu saya berlari keluar rumah sehingga gegaran
berhenti," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, seorang penduduk di Kampung Airport, Kunak,
Dian Awang berkata beliau turut merasai gegaran kecil selama 10 saat.
"Pada mulanya saya ingatkan adik-adik yang berlari di
atas rumah, tetapiapabila tidak melihat sesiapa yang berlari, saya keluar untuk
melihat keadaan sekitar tetapi tidak ada apa-apa berlaku.
"Saya hanya sedar ketika membaca berita di Facebook
menyatakan ada gempa bumi lemah di daerah Lahad Datu lewat petang tadi,"
katanya.
Jabatan Meteorologi dalam satu kenyataan berkata, pusat
gempa itu terletak pada 4.8 darjah utara dan 118.6 darjah timur, iaitu 38
kilometer timur laut Kunak dengan gegaran turut dirasai di Tawau dan Sandakan
pada pukul 5.30 petang.