SURAU AL ZALZALAH (99)

Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya, Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya, Dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun); “Apa yang sudah terjadi kepada bumi?” Pada hari itu bumipun menceritakan khabar beritanya: Bahawa Tuhanmu telah memerintahnya (berlaku demikian). Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) – untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka. Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! [99. Az-Zalzalah]

Isnin, 27 Mac 2017

Penduduk Kunak, Semporna Rasai Gegaran Gempa Di Lahad Datu




Penduduk Kunak, Semporna Rasai Gegaran Gempa Di Lahad Datu
Diterbitkan: Ahad, 26 Mac 2017 8:50 PM

SEMPORNA: Gempa bumi lemah bermagnitud 4.2 pada skala Richter yang melanda Lahad Datu, petang Ahad turut mengakibatkan beberapa kawasan di daerah Kunak dan Semporna merasai gegarannya.

Seorang guru, Aslina Ali, 30, berkata beliau dapat merasakan gegaran hampir seminit ketika berada di rumahnya di perumahan Sekolah Menengah Kebangsaan Tagasan, di sini.

"Saya sedang mengemas rumah kerana baru balik dari kampung setelah seminggu cuti persekolahan sebelum gegaran itu dirasai kira-kira pukul 5.30 petang.

"Setelah itu saya berlari keluar rumah sehingga gegaran berhenti," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, seorang penduduk di Kampung Airport, Kunak, Dian Awang berkata beliau turut merasai gegaran kecil selama 10 saat.

"Pada mulanya saya ingatkan adik-adik yang berlari di atas rumah, tetapiapabila tidak melihat sesiapa yang berlari, saya keluar untuk melihat keadaan sekitar tetapi tidak ada apa-apa berlaku.

"Saya hanya sedar ketika membaca berita di Facebook menyatakan ada gempa bumi lemah di daerah Lahad Datu lewat petang tadi," katanya.

Jabatan Meteorologi dalam satu kenyataan berkata, pusat gempa itu terletak pada 4.8 darjah utara dan 118.6 darjah timur, iaitu 38 kilometer timur laut Kunak dengan gegaran turut dirasai di Tawau dan Sandakan pada pukul 5.30 petang.

http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2017/03/26/lahad-datu-gegar/

Jumaat, 17 Mac 2017

Gempa Bumi Lemah Landa Ranau

Gempa Bumi Lemah Landa Ranau
Diterbitkan: Rabu, 15 Mac 2017 7:47 PM


KUALA LUMPUR: Gempa bumi lemah bermagnitud 2.5 pada skala Richter berlaku di Ranau, Sabah pada pukul 4.46 petang Rabu.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan berkata, gegaran dirasai di kawasan berkenaan.

"Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," kata kenyataan itu. - Bernama


Jumaat, 26 Februari 2016

Gempa di Tasik Kenyir boleh berlaku lagi

GEMPA BUMI DI TASIK KENYIR BUKAN BAHARU, MUNGKIN BERULANG

Kuala Lumpur: Gempa bumi yang berlaku di kawasan Empangan Tasik Kenyir, Terengganu, Selasa lepas, tidak perlu dibimbangkan walaupun ia mungkin berulang.

Pakar Geologi Struktur dan Tektonik Universiti Malaya, Prof Madya Mustaffa Kamal Shuib berkata kejadian itu bukan baru kerana empangan yang dibina pada 1984 itu pernah mengalami gempa bumi 28 kali dalam tempoh tiga tahun iaitu antara 1984 dan 1986.

"Sepanjang 28 kali itu, gempa yang berlaku berukuran antara 2.6 hingga 4.6 skala Richter. Pada 2010, ada satu lagi gempa bumi dan sekarang berlaku lagi.

"Gempa bumi sebegitu mungkin berulang tetapi tidak dapat diramalkan bila,” katanya

Gempa bumi lemah berukuran 2.7 pada skala Richter dikesan di Tasik Kenyir dan gegaran dirasai di Kuala Berang pada 9.25 malam Selasa lalu. Pusat gempa bumi itu terletak di lima darjah utara dan 102.9 darjah timur, iaitu 16 km barat daya dari Kuala Berang.


Bagaimanapun, Mustaffa Kamal berkata keadaan empangan itu stabil dan tidak perlu dibimbangkan kerana gegaran yang berlaku tidak menghasilkan gempa bumi besar.

Beliau menjelaskan tekanan air dalam empangan yang melepasi paras 150 meter punca berlakunya gempa bumi di kawasan tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara dengan keluasan 260,000 hektar itu.

Beliau juga mencadangkan semua empangan di negara ini menggunakan alat seismometer bagi mengenal pasti gempa bumi lebih awal.

"Seismometer boleh menyukat pergerakan bumi, termasuk gelombang seismos yang dihasilkan gempa bumi dan rekod gelombang boleh digunakan ahli seismologi untuk mengukur gegaran berkenaan," katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia juga melaporkan gempa bumi itu berpunca daripada tekanan dihasilkan air dalam empangan tersebut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2016 @ 9:40 PM


Khamis, 25 Februari 2016

Gempa bumi landa Tasik Kenyir



Gempa bumi landa Tasik Kenyir


GEGARAN akibat gempa bumi yang berlaku di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu malam kelmarin turut dirasai penduduk di Kuala Berang.

HULU TERENGGANU – Ribuan penduduk di beberapa buah kampung berhampiran Tasik Kenyir di sini dikejutkan dengan kejadian gempa bumi malam kelmarin.

Gegaran itu berlaku selama beberapa saat dan turut dirasai oleh penduduk di Kuala Berang, Kampung Pueh, Gaung, Kepah, Dusun, Jenagor, Batu Belah, Kuala Dura dan Kuala Ping.

Kejadian itu dianggap misteri memandangkan Tasik Kenyir tidak terletak dalam kawasan yang sering dilanda gempa. Malah, difahamkan berlaku kejadian yang menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penduduk termasuk fenomena banyak ikan muncul di permukaan air manakala bahagian hulu sungai mula kering sejak beberapa bulan lalu.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, gempa bumi berukuran 2.7 pada skala Richter itu dikesan di Tasik Kenyir pada pukul 9.25 malam kelmarin tetapi tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Pusat gempa bumi itu terletak pada kedudukan 5 darjah utara dan 102.9 darjah timur, iaitu 16 kilometer dari pekan Kuala Berang.

Seorang penduduk Kampung Kuala Dura, Mazarah Abu Bakar, 45, memberitahu, ketika kejadian dia baru selesai mengerjakan solat Isyak apabila rumahnya tidak semena-mena bergegar seperti ada beberapa orang sedang naik ke atas bumbung.


Tekanan air empangan dipercayai punca gegaran kecil berlaku

KUALA TERENGGANU – Gempa bumi yang berlaku di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu dekat sini malam kelmarin berpunca daripada tekanan yang dihasilkan air di dalam Empangan Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud, menurut Jabatan Meteo­rologi Malaysia.

Timbalan Ketua Pengarah Strategi dan Teknikal jabatan itu, Dr. Rosaidi Che Abas berkata, daya yang terhasil daripada air dalam empangan itu menyebabkan batu-batan di sekitar empangan itu melepaskan tenaga dan menghasilkan gegaran kecil.

“Ini bukan kali pertama gegaran kecil berlaku di kawasan empangan berkenaan. Malah gegaran yang berlaku kelmarin adalah yang ke-27 selepas gegaran kali pertama berukuran 4.6 pada skala Richter berlaku di kawasan berkenaan pada 32 tahun lalu.

“Sehubungan itu, penduduk setempat tidak perlu risau kerana ia hanya gegaran lemah yang tidak akan memberi kesan ke atas kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini semalam.

Rabu, 24 Februari 2016

Gempa bumi lemah di Tasik Kenyir




Gempa bumi lemah di Tasik Kenyir
Rabu, 24 Februari 2016 @ 12:40 AM

Kuala Terengganu: Gempa bumi lemah berukuran 2.7 skala Richter dilaporkan berlaku di Tasik Kenyir, 16 kilometer barat daya Kuala Berang, 9.25 malam tadi.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia 11.30 malam tadi, gempa itu turut dirasai beberapa kawasan di sekitar Kuala Berang.

Gegaran itu dilaporkan berlaku di longitud 5.0 utara, 102.9 timur Tasik Kenyir.

Difahamkan, kawasan Kuala Pueh, Jenagor, Kuala Ping dan FElCRA Bukit Kepah merasai gegaran lemah itu.


Gempa Bumi Lemah Di Tasik Kenyir
Rabu, 24 Februari 2016 7:55 AM

KUALA LUMPUR: Gempa bumi lemah bermagnitud 2.7 pada skala Richter dikesan di Tasik Kenyir, Terengganu, Selasa malam.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan berkata, gegaran boleh dirasai di Kuala Berang.

Pusat gempa bumi itu terletak di 5 darjah Utara dan 102.9 darjah Timur, iaitu 16km Barat Daya dari Kuala Berang.

Menurut kenyataan itu, tiada ancaman tsunami berikutan gempa yang berlaku pada 9.25 malam itu, namun agensi itu sedang memantau perkembangan dan akan memaklumkan sebarang maklumat terkini.

Tasik Kenyir merupakan tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara dengan keluasan 260,000 hektar. – Bernama