SURAU AL ZALZALAH (99)

Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya, Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya, Dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun); “Apa yang sudah terjadi kepada bumi?” Pada hari itu bumipun menceritakan khabar beritanya: Bahawa Tuhanmu telah memerintahnya (berlaku demikian). Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) – untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka. Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! [99. Az-Zalzalah]

Jumaat, 26 Februari 2016

Gempa di Tasik Kenyir boleh berlaku lagi

GEMPA BUMI DI TASIK KENYIR BUKAN BAHARU, MUNGKIN BERULANG

Kuala Lumpur: Gempa bumi yang berlaku di kawasan Empangan Tasik Kenyir, Terengganu, Selasa lepas, tidak perlu dibimbangkan walaupun ia mungkin berulang.

Pakar Geologi Struktur dan Tektonik Universiti Malaya, Prof Madya Mustaffa Kamal Shuib berkata kejadian itu bukan baru kerana empangan yang dibina pada 1984 itu pernah mengalami gempa bumi 28 kali dalam tempoh tiga tahun iaitu antara 1984 dan 1986.

"Sepanjang 28 kali itu, gempa yang berlaku berukuran antara 2.6 hingga 4.6 skala Richter. Pada 2010, ada satu lagi gempa bumi dan sekarang berlaku lagi.

"Gempa bumi sebegitu mungkin berulang tetapi tidak dapat diramalkan bila,” katanya

Gempa bumi lemah berukuran 2.7 pada skala Richter dikesan di Tasik Kenyir dan gegaran dirasai di Kuala Berang pada 9.25 malam Selasa lalu. Pusat gempa bumi itu terletak di lima darjah utara dan 102.9 darjah timur, iaitu 16 km barat daya dari Kuala Berang.


Bagaimanapun, Mustaffa Kamal berkata keadaan empangan itu stabil dan tidak perlu dibimbangkan kerana gegaran yang berlaku tidak menghasilkan gempa bumi besar.

Beliau menjelaskan tekanan air dalam empangan yang melepasi paras 150 meter punca berlakunya gempa bumi di kawasan tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara dengan keluasan 260,000 hektar itu.

Beliau juga mencadangkan semua empangan di negara ini menggunakan alat seismometer bagi mengenal pasti gempa bumi lebih awal.

"Seismometer boleh menyukat pergerakan bumi, termasuk gelombang seismos yang dihasilkan gempa bumi dan rekod gelombang boleh digunakan ahli seismologi untuk mengukur gegaran berkenaan," katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia juga melaporkan gempa bumi itu berpunca daripada tekanan dihasilkan air dalam empangan tersebut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2016 @ 9:40 PM


Tiada ulasan:

Catat Ulasan