SURAU AL ZALZALAH (99)

Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya, Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya, Dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun); “Apa yang sudah terjadi kepada bumi?” Pada hari itu bumipun menceritakan khabar beritanya: Bahawa Tuhanmu telah memerintahnya (berlaku demikian). Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) – untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka. Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! [99. Az-Zalzalah]

Ahad, 16 Disember 2012

Malaysia kebarangkalian gempa bumi


Malaysia kebarangkalian gempa bumi

KUALA LUMPUR 15 Dis. 2012 — Terdapat kebarangkalian Malaysia dilanda gempa bumi pada masa hadapan sungguhpun negara ini terletak di luar kawasan Lingkaran Api Pasifik, kata seorang penyelidik hari ini.

Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi Universiti Malaysia Sabah, Prof. Dr. Felix Tongkul berkata, berdasarkan kajian, pihaknya mendapati Malaysia berkemungkinan dilanda gempa bumi pada kekuatan sederhana iaitu 6.0 pada skala Richter pada masa hadapan.

"Daripada kajian yang kita lakukan, Malaysia mungkin tidak akan ditimpa gempa bumi berskala kuat, tetapi setakat rekod yang kita ada negara mungkin ditimpa gempa bumi berskala sederhana.

"Gegaran pada tahap itu sudah cukup untuk merosakkan bangunan dan harta benda," katanya kepada Bernama pada akhir Seminar Teknikal Kebangsaan Gempa Bumi dan Tsunami anjuran Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) di sini.

Dr. Felix berkata, bagaimanapun gempa bumi berkekuatan sederhana itu diramal berlaku di beberapa kawasan tertentu sahaja dan bukan di seluruh negara.

"Seperti yang kita sedia maklum ada beberapa kawasan di negara ini yang sering mengalami gegaran apabila berlaku gempa bumi kuat di negara jiran seperti di kawasan Kundasang, Ranau dan Lahad Datu di Sabah. Kawasan-kawasan ini mungkin berpotensi dilanda gempa bumi sederhana itu," katanya.

Dr. Felix yang juga profesor dalam bidang Geologi di Akademi Sains Malaysia berkata, kajian yang dijalankan oleh ahli geologi juga mendapati kawasan Bukit Tinggi di Pahang turut berpotensi mengalami gempa bumi sederhana.

Sehubungan itu, katanya masyarakat harus sentiasa bersedia dan tidak panik sekiranya berlaku gegaran pada masa akan datang.

Katanya, gempa bumi paling kuat yang direkodkan di Malaysia setakat ini ialah gempa bumi sederhana pada kekuatan 5.8 skala Richter di Lahad Datu, Sabah pada 1976 yang mengakibatkan banyak harta benda rosak serta bangunan retak.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Ramalan) JMM berkata, Malaysia mengalami lapan gegaran akibat 22 gempa bumi kuat di negara jiran sepanjang tahun 2012.

Beliau berkata kedudukan Malaysia yang berjiran dengan negara di zon lingkaran gempa bumi menyebabkan Malaysia turut tidak terkecuali daripada terpalit sama merasai gegaran gempa bumi.

— BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan