Gegaran awal pagi
7 Jun 2013
Tawau: Beberapa penduduk daerah ini terkejut apabila berasa
gegaran akibat gempa bumi berpusat 31 Kilometer (KM) dari Kota Tarakan,
Indonesia,. kira-kira 118km dari Tawau, awal pagi semalam.
Bagaimanapun, tinjauan mendapati tidak ramai penduduk
mengetahui mengenai kejadian itu kerana ia berlaku pada awal pagi ketika orang
ramai masih tidur.
Ketua Balai Bomba Tawau Rudy Fredzek berkata, gegaran jelas
dapat dirasai di pekarangan balai bomba kira-kira jam 3.23 pagi.
Menurutnya, pihaknya mengambil langkah awal dengan melakukan
rondaan sekitar pusat bandar bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini.
“Setakat ini, tiada sebarang kemusnahan yang membabitkan
kejadian gempa bumi berkenaan dilaporkan berlaku,” katanya ketika dihubungi,
semalam. Rudy berkata, sehingga kini pihak bomba masih diletakkan dalam keadaan
berjaga-jaga dan operasi memantau masih dijalankan.
Sementara itu, orang ramai yang ditemui terkejut apabila
diberitahu mengenai kejadian gegaran akibat daripada gempa bumi berkenaan.
Seorang penduduk yang ditemui, Norazman Junaidi, 31,
berkata, ketika kejadian dia sedang tidur dan terkejut akibat gegaran
berkenaan.
Menurutnya, walaupun tidak kuat, namun gegaran itu dapat
dirasai dalam tempoh kurang 10 saat.
“Pada mulanya saya beranggapan mungkin hanya bermimpi kerana
keadaan berlaku sangat pantas dan kembali tidur semula selepas itu.
“Pada pagi ini (semalam), rupa-rupanya gegaran berkenaan
benar berlaku selepas saya melihat banyak komen di Facebook,” katanya ketika
ditemui, semalam.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, gempa bumi lemah
berukuran 4.9 pada skala Richter berlaku di Borneo pada 3.23 pagi ini.